Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Rabu, 10 Ogos 2011

Aksi persahabatan England-Belanda batal



England membatalkan perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Belanda di Stadium Wembley hari ini di tengah-tengah gelombang rusuhan dan kecurian di seluruh bandaraya London. 

Persatuan Bola Sepak England (FA) membuat keputusan itu semalam selepas perbincangan dengan kerajaan dan Polis Metropolitan yang bertungkus lumus untuk membendung kekacauan yang memasuki hari ketiga di ibu kota Inggeris itu.
“Dengan amat kesalnya, perlawanan antarabangsa dengan Belanda esok dibatalkan,” lapor FA dalam satu kenyataan ringkas.


Sebanyak 70,000 tiket sudah terjual bagi perlawanan di utara London, yang terpaksa dibatalkan sebelum pasukan Belanda dijadual tiba di England, pada sebelah petang semalam. 

“Kami akan kekal di Belanda,” kata jurucakap Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB), Monique Kessel. “Amat malang. 

“Kekacauan di London memaksa semua anggota polis dipanggil untuk membendungnya,” kata KNVB dalam satu kenyataan. “Memandangkan ia satu acara besar bertaraf antarabangsa di Wembley yang memerlukan pengawasan keselamatan, perlawanan diputuskan untuk tidak diadakan.” 

Di London, sekumpulan remaja mengamuk buat malam ketiga berturut-turut, membakar bangunan, kenderaan dan tong sampah, memecah masuk kedai serta membaling pegawai polis dengan botol dan mercun. 
Di daerah Peckham di selatan London di mana pertahanan England, Rio Ferdinand dibesarkan, sebuah bangunan dibakar bersama-sama sebuah bas tanpa penumpang hingga disifatkan penduduk tempatan seperti sebuah zon perang. 

Ferdinand yang menonton keganasan itu menerusi kaca televisyen di hotel penginapan pasukan England, berkata pembatalan perlawanan itu adalah satu keputusan bijak. 

“Siapa yang mahu menonton bola sepak apabila negara ini berada dalam suasana kacau bilau,” katanya dalam laman Twitter, sambil menyifatkan keganasan yang semakin buruk itu adalah ‘gila’. 

Rakan sepasukan, Wayne Rooney meminta keganasan itu dihentikan. 
“Keganasan ini adalah gila, mengapa ada rakyat sendiri yang sanggup melakukannya terhadap negara, bandar sendiri. Ini memalukan negara.” 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Klik2